Thursday, September 12, 2013

Produk Tradisional Tidak Berdaftar Yang Dikesan Mengandungi Racun Berjadual

Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menasihatkan orang awam agar mengelakkan daripada membeli dan menggunakan PRODUK TIDAK BERDAFTAR seperti berikut:

Nama Produk Racun Berjadual yang Dikesan

1.  Li Long Mei Guo Mo Bang (力龙美国魔棒) - mengandungi Sildenafil

2.  Africa Black Ant (非洲黑蚁王) - mengandungi Sildenafil

3.  Ginseng Tu Chong Wan Lin Heong (人参杜仲萬灵香) - mengandungi Dexamethasone

PERIHAL PRODUK

Produk Tradisional Berbahaya
Produk tradisional tidak berdaftar yang dikesan mengandungi racun berjadual
Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, KKM telah mendapat maklumat dari pihak Health Sciences Authority (HSA) bahawa ketiga-tiga produk di atas telah dikesan mengandungi bahan racun berjadual sildenafil atau dexamethasone.

Sildenafil telah dikesan pada produk Li Long Mei Guo Mo Bang dan Africa Black Ant susulan laporan kesan advers yang diterima terhadap orang awam yang mengalami kesan sampingan akibat pengambilan produk-produk tersebut. Antara kesan sampingan yang dialami oleh pesakit-pesakit tersebut adalah sakit di bahagian dada, sesak nafas, serangan jantung dan angin ahmar. Kedua-dua pesakit masih menerima rawatan di hospital akibat kesan sampingan yang dialami.

Manakala, dexamethasone pula dikesan pada produk Ginseng Tu Chong Wan Lin Heong susulan daripada siasatan ke atas laporan kesan advers yang dialami oleh seorang pesakit di negara itu yang mengalami sindrom Cushing selepas mengambil produk ini dalam masa 8-9 bulan. Sindrom Cushing dikenalpasti melalui ciri-ciri seperti muka membulat, peningkatan berat badan mendadak, bengkak pada bahu serta tengkuk dan kulit kesihatan garis kebiru-biruan (striae).

Hasil semakan mendapati ketiga-tiga produk yang dilaporkan adalah tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah. Nombor pendaftaran MAL 19991268TC dan maklumat syarikat yang tertera pada label produk Ginseng Tu Chong Wan Lin Heong iaitu di Alor Setar, Kedah merupakan alamat palsu. Walau bagaimanapun, berdasarkan siasatan lanjut produk ini telah berjaya dirampas pada 25 Julai 2013 di salah sebuah premis pengedar yang terletak di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

PERIHAL BAHAN RACUN BERJADUAL

Penggunaan bahan racun berjadual sildenafil atau dexamethasone tidak dibenarkan dalam ubat kategori tradisional. Sildenafil adalah ubat yang digunakan dalam rawatan disfungsi erektil dan hanya boleh dibekal oleh doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi doktor. Penggunaan sildenafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan advers serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat yang merbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.

Dexamethasone adalah ubat jenis kortikosteroid yang dikawal di bawah Akta Racun 1952. Ia berfungsi sebagai antiradang yang kuat dan biasa digunakan dalam rawatan alergi. Ia hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperolehi dari farmasi dengan preskripsi doktor kerana ia perlu diambil dengan dos yang sesuai mengikut keadaan pesakit. Penggunaan dexamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan yang serius seperti ulser perut, lemah otot, tulang rapuh (osteoporosis), peningkatan paras gula dalam darah, peningkatan tekanan darah, glaucoma dan sindrom Cushing.

Sumber: Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia


No comments:
Write comments